57 Kampung Orang Asli Johor Nikmati Liputan 4G
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Sebanyak 57 Kampung Orang Asli (KOA) di Johor menikmati liputan rangkaian 4G yang baik setakat 1 Sept 2026, manakala sebuah lagi kampung disenaraikan dalam perancangan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2, bagi meningkatkan akses Internet di kawasan berkenaan.
Kementerian Komunikasi dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen berkata kadar liputan Internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk di Johor telah mencapai 99.98 peratus, termasuk kawasan berpenduduk dalam rizab KOA hasil pelaksanaan inisiatif JENDELA.
“Setakat 1 Sept 2026, kadar liputan Internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk di seluruh negara telah mencapai 99.75%, manakala di Johor pula telah mencapai 99.98 peratus,” katanya.
Kementerian itu menjawab soalan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong), mengenai pencapaian liputan perkhidmatan Internet Jalur Lebar Mesra Rakyat di kawasan rizab Orang Asli Johor, serta pelan mengatasi masalah pencawang telekomunikasi yang tidak mempunyai bekalan elektrik tetap.
Berhubung isu bekalan kuasa menara komunikasi di KOA di Johor, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa meneliti keperluan penambahbaikan serta merangka penyelesaian yang bersesuaian, bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan komunikasi di kawasan berkenaan.
Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah menaik taraf kemudahan penjana kuasa (genset) sedia ada kepada sistem, solar genset atau hybrid genset, dengan inisiatif itu bertujuan meningkatkan keupayaan bekalan kuasa dan daya tahan operasi menara komunikasi.
Setakat 1 Sept, empat menara komunikasi di KOA Kemidak, KOA Pasir Salam, KOA Tewowoh dan Jalan KOA Peta yang sebelum ini menggunakan genset, telah dinaik taraf kepada sistem solar genset bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan komunikasi.
Selain itu, sebanyak lima menara komunikasi di bawah Pelan JENDELA telah menggunakan bekalan elektrik sebagai bekalan kuasa kekal iaitu KOA Tanah Gemboh, KOA Simpang Arang, KOA Pasir Intan, KOA Sayong Pinang dan KOA Peta.
Bagi tempoh 1 Jan hingga 1 Sept 2026, kementerian itu memaklumkan MCMC tidak menerima sebarang aduan rasmi berkaitan liputan lemah di KOA Johor.
“Walau bagaimanapun, kerajaan menyedari cabaran penyediaan infrastruktur komunikasi di kawasan pedalaman khususnya melibatkan bentuk muka bumi, kedudukan penempatan serta kekangan bekalan elektrik dan laluan gentian optik.
“Sehubungan dengan itu, Kementerian Komunikasi dan MCMC akan terus bekerjasama dengan pihak berkaitan, bagi mengenal pasti penyelesaian teknikal yang bersesuaian,” katanya.
-- BERNAMA




