• Laman Utama
  • Awam
  • BERITA
  • Dua Wartawan Bernama Terima Pengiktirafan Anugerah Inspirasi Media PPZ-MAIWP

Dua Wartawan Bernama Terima Pengiktirafan Anugerah Inspirasi Media PPZ-MAIWP

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Dua wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menerima pengiktirafan pada Anugerah Inspirasi Media bersempena dengan Majlis Apresiasi Media Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) 2026 di sini malam ini.

Pegawai Berita Meja Rencana dan Isu Semasa Bernama Muhammad Basir Roslan meraih tempat ketiga bagi Kategori Media Cetak dan Portal Berita (Berita dan Rencana) menerusi karya bertajuk “Zakat Era Baharu: Membina Kepercayaan, Memacu Transformasi Masyarakat”.

Beliau membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta trofi, manakala Ketua Biro Bernama Kelantan Muhammad Afiq Mohd Asri menerima hadiah sagu hati bernilai RM500 menerusi dua berita bersiri bertajuk “Kesedaran Kepada Tindakan, PPZ-MAIWP Perkukuh Aspek Digital” dan “Kesedaran Zakat Belum Diterjemahkan Sepenuhnya kepada Tindakan - PPZ-MAIWP” dalam kategori sama.

Kategori itu dimenangi wartawan Sinar Harian Muhamad Tarmize Mohd Nor yang membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta trofi, manakala wartawan Berita Harian Mohd Nazmi Yaakub meraih tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM2,000 dan trofi.

Anugerah berkenaan disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan manakala majlis turut dihadiri Pengerusi PPZ-MAIWP Datuk Ahmad Azam Ab Rahman dan Pengerusi MAIWP Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer. 

Dalam ucapannya, Zulkifli berkata Anugerah Inspirasi Media PPZ-MAIWP merupakan platform untuk mengiktiraf ketekunan, bakat dan kreativiti warga media dalam menghasilkan karya yang mampu meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai zakat dan wakaf.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Institut Akhbar Malaysia (MPI) selaku rakan strategik yang mengendalikan proses penilaian dan penjurian menerusi panel berpengalaman.

“Kerjasama ini memberikan pengiktirafan yang bermakna kepada mutu karya berkaitan zakat dan wakaf,” katanya.

Pada majlis itu, Zulkifli turut menyampaikan anugerah bagi Kategori Televisyen dan Video Dalam Talian (Berita dan Laporan Khas) yang dimenangi TVS dengan hadiah wang tunai RM3,000 berserta trofi, diikuti RTM Labuan di tempat kedua (RM2,000 dan trofi) serta Astro Awani di tempat ketiga (RM1,000 dan trofi).

Anugerah Khas turut diberikan kepada wartawan See Hua Daily News, Lo Pei Ling yang menerima wang tunai RM500 berserta trofi. 

Pengiktirafan itu diberikan bagi menghargai penyertaan tunggal daripada organisasi media bukan berbahasa Melayu pada edisi kali ini, selain menggalakkan penyampaian maklumat berkaitan zakat kepada masyarakat berbilang bahasa dan latar belakang.

-- BERNAMA