• Laman Utama
  • Awam
  • BERITA
  • Dana Inovasi Media Perkasa Bilik Berita, Tingkatkan Kemahiran Wartawan Di Sarawak

Dana Inovasi Media Perkasa Bilik Berita, Tingkatkan Kemahiran Wartawan Di Sarawak

KUCHING, 3 Nov (Bernama) -- Organisasi media di Sarawak memanfaatkan Dana Inovasi Media bagi memperkukuh keupayaan bilik berita menerusi latihan tenaga kerja, penambahbaikan peralatan serta penggunaan teknologi baharu.

Ketua Pengarang Sarawak Tribune Aden Nagrace berkata dana berkenaan membolehkan organisasinya meningkatkan kemahiran penulisan digital dalam kalangan wartawan, selain melengkapkan mereka dengan peralatan bersesuaian bagi menghasilkan kandungan untuk pelbagai platform.

Beliau berkata pelaburan itu penting dalam menyokong usaha akhbar berkenaan memperluas operasi digital, seiring peralihan daripada pendekatan kewartawanan konvensional berasaskan media cetak.

“Bagi bilik berita yang mempunyai asas kukuh dalam penerbitan bercetak, peralihan ke dunia digital memerlukan kami melihat tugas kewartawanan daripada perspektif yang lebih luas. Kami bukan sahaja perlu menghasilkan berita dalam bentuk penulisan, malah memikirkan bagaimana gambar, video dan pendekatan persembahan lain boleh memperjelas sesuatu isu kepada khalayak.

“Latihan dan peralatan bersesuaian memberi asas lebih kukuh bagi melaksanakan usaha itu. Ia membantu kami dalam menghasilkan kandungan yang lebih jelas, menarik dan bersesuaian dengan platform digunakan oleh pembaca,” katanya kepada Bernama.

Pada 30 Okt lepas, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil mengumumkan peruntukan RM30 juta menerusi Dana Inovasi Media 2.0 bagi terus memperkasakan industri media tempatan, dengan tumpuan kepada pendigitalan, pembangunan bakat dan penerapan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).

Inisiatif itu merupakan kesinambungan daripada Dana Inovasi Media yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada Jun 2025.

Fahmi berkata 72 syarikat media telah menerima manfaat daripada dana terdahulu menerusi peruntukan RM30 juta yang diumumkan tahun lepas.

Pembiayaan itu membantu pelbagai inisiatif transformasi media, termasuk latihan, penambahbaikan operasi serta penerokaan pendekatan baharu dalam penghasilan dan penyampaian kandungan.

Sementara itu, Pengurus Projek DayakDaily Marlynda Chan berkata portal berita berkenaan telah memanfaatkan dana tersebut untuk menganjurkan bengkel kecerdasan buatan (AI) dan kelas solekan profesional khusus untuk wartawannya.

“Kelas solekan itu dianjurkan bagi memastikan wartawan kami sentiasa berketerampilan profesional ketika menjalankan sesi temu bual berprofil tinggi dan menghadiri majlis rasmi.

“Dari segi peralatan, kami membuat pelaburan dalam kamera profesional dan kelengkapan rakaman video bagi meningkatkan mutu liputan di lapangan, khususnya untuk acara, festival dan sesi temu bual. Kami turut menaik taraf perkakasan pasukan melalui penyediaan komputer riba pejabat, selain melengkapkan ruang kerja dengan televisyen paparan bagi memudahkan perbincangan kolaboratif serta sesi latihan,” katanya.

Beliau berkata dana berkenaan membawa perubahan besar kepada organisasinya, terutama dalam meningkatkan kualiti kandungan dan kecekapan operasi bilik berita.

“Melalui latihan AI, wartawan kami kini memahami penggunaan peralatan AI secara beretika, dengan langkah perlindungan sewajarnya bagi memastikan teknologi berperanan sebagai alat bantu dan bukannya pengganti tenaga manusia.

“Dari aspek multimedia pula, penggunaan kamera profesional dan peralatan video baharu telah meningkatkan mutu hasil audio visual kami, sekali gus menghasilkan liputan festival, perarakan dan temu bual yang lebih jelas serta berkualiti tinggi,” katanya.

-- BERNAMA