Filem Pendek Deepavali Ditayangkan Menerusi Bernama, RTM Dan TVS Bermula Esok
PUTRAJAYA, 3 Nov (Bernama) -- Filem pendek bersempena dengan sambutan Deepavali 2026 terbitan Kementerian Perpaduan Negara berjudul “Cahaya Yang Menyatukan Kita” bakal ditayangkan menerusi Bernama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV Sarawak (TVS) mulai esok.
Filem cetusan idea Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang itu akan ditayangkan menerusi Bernama dari 4 hingga 11 Nov, manakala RTM dan TVS masing-masing dari 5 hingga 10 Nov ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perpaduan Negara Dr Shatesh Kumar Sangar hari ini, filem berkenaan mengangkat mesej kasih sayang, keprihatinan dan perpaduan merentasi batas kaum menerusi penceritaan yang dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia.
"Keunikan 'Cahaya Yang Menyatukan Kita' terletak pada kisah insan biasa yang menjadi lambang perpaduan luar biasa. Tanpa memerlukan dialog yang berat atau mesej yang terlalu formal, filem ini memperlihatkan bahawa perpaduan sebenarnya hidup melalui perbuatan seharian, daripada bertanya khabar, berkongsi makanan, membantu jiran sehinggalah meraikan perayaan bersama-sama," katanya.
Filem itu turut mengetengahkan keunikan budaya masyarakat India menerusi elemen tradisi Deepavali, termasuk hiasan kolam, pelita, toranai dan juadah tradisional.
Penerbitan berkenaan adalah antara pendekatan komunikasi kreatif kementerian bagi menyampaikan mesej perpaduan secara santai dan berkesan, khususnya kepada generasi muda.
"Karya ini juga selari dengan aspirasi kementerian untuk memperkukuh nilai Faham, Hormat, Terima dan Meraikan, yang menjadi asas penting dalam membina masyarakat Malaysia yang saling memahami, menghormati perbezaan, menerima kepelbagaian dan meraikan kebersamaan," menurut kenyataan itu.
Selain siaran menerusi tiga organisasi penyiaran berkenaan, orang ramai juga boleh mengikuti tayangan filem itu melalui Instagram @aaronagodagang dan Facebook Aaron Ago Dagang.
-- BERNAMA




