Deepavali: RTM hargai warga kerja, rakan strategik

KUALA LUMPUR, 3 November – Radio Televisyen Malaysia (RTM) kekal komited melaksanakan tanggungjawab sebagai penyiar nasional dengan memastikan perkhidmatan maklumat dan hiburan kepada rakyat berlangsung tanpa henti, termasuk sepanjang musim perayaan Deepavali.

Ketua Pengarah RTM, Datuk Ashwad Ismail berkata, sebagai organisasi media, operasi penyiaran perlu diteruskan setiap masa bagi memenuhi keperluan pendengar dan masyarakat.

“Sebagai media, kita ibarat kedai yang tidak pernah tutup. Jadi, kita terus berkhidmat kepada pendengar dan rakyat pada setiap masa.

“Dalam kita meraikan perayaan termasuk Deepavali ini, jangan kita lupa kepada mereka yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan Deepavali di Konti Minnal FM, RTM, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan rakyat Malaysia agar sentiasa menghargai keamanan dan kestabilan yang dinikmati negara, khususnya ketika beberapa wilayah lain berdepan ketidakstabilan dan konflik.

“Kita faham ketika ini pelbagai wilayah sedang berhadapan dengan ketidakstabilan dan konflik.

“Bagi kita di Malaysia, nikmat keharmonian ini harus diambil sedikit masa untuk diraikan dalam suasana penuh sederhana tetapi meriah,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Ashwad turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik, penaja serta warga kerja RTM yang menjayakan program penyerahan sumbangan Deepavali berkenaan.

Sumbangan itu bukan sahaja menceriakan penerima, malah menyemarakkan semangat perpaduan dan kebajikan dalam kalangan warga RTM.

Beliau turut menyampaikan ucapan Selamat Menyambut Deepavali kepada seluruh rakyat Malaysia, warga kerja RTM serta pendengar setia Minnal FM.

“Mewakili warga kerja RTM di Angkasapuri dan seluruh negara, saya mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali kepada seluruh rakyat Malaysia. Semoga Pesta Cahaya ini membawa kesejahteraan dan kemakmuran yang berpanjangan.

“Buat pendengar dan pengikut Minnal FM, kami mendoakan agar anda sentiasa dilimpahi kasih sayang, kebahagiaan serta kestabilan hidup bersama,” katanya.