Geran Penerbitan RM50,000 Menanti Juara Keseluruhan FFVPM14

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Pemenang Hadiah Keseluruhan (Best of the Best) Festival Filem Video Pelajar Malaysia ke-14 (FFVPM14) bakal membawa pulang Geran Penerbitan Filem Pendek bernilai RM50,000 di bawah Dana Pemangkin Generasi MADANI.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata geran itu bertujuan menggalakkan pemenang meneruskan penghasilan karya dengan bimbingan dan sokongan yang bersesuaian.

“Tujuannya adalah memberikan galakan kepada pemenang tersebut untuk menghasilkan projek baharu dengan bimbingan,” katanya pada sidang media festival filem itu di sini hari ini.

Selain geran penerbitan, festival yang menjadi platform mempamerkan karya dan memperkasakan bakat baharu pelajar dalam industri perfileman itu turut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM25,000 serta trofi menerusi 22 kategori dipertandingkan.

Beliau berkata kesemua ganjaran itu disediakan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama FINAS di bawah Program Belia Kreatif Komuniti MADANI bagi memperkasakan bakat pelapis perfileman tanah air.

Sementara itu, Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Datuk ‘Ainu Sham Ramli berkata penganjuran FFVPM14 merupakan manifestasi kerjasama strategik antara ASWARA dengan FINAS dalam mencungkil bakat muda serta membangunkan modal insan industri perfileman negara.

"Inisiatif ini bukan sekadar mengembalikan sebuah festival, tetapi turut membuka ruang kepada generasi baharu untuk mengetengahkan kreativiti, meneroka pelbagai pendekatan penceritaan dan memperlihatkan potensi mereka dalam penghasilan karya audiovisual.

"Kami mahu festival ini menjadi platform yang menggalakkan pelajar berani berkarya, mencabar kreativiti serta mengembangkan perspektif mereka melalui medium filem,” katanya.

Beliau berkata edisi kali ini menerima sambutan menggalakkan dengan 177 penyertaan daripada 35 institusi pendidikan tinggi (IPT) di seluruh negara, membuktikan minat mendalam generasi muda terhadap bidang perfileman yang wajar disokong secara berterusan.

Dianjurkan oleh Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem ASWARA dengan sokongan FINAS, FFVPM14 dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 13 Nov ini di Dewan Kuliah Utama dan Panggung Eksperimen ASWARA.

Malam kemuncak pada 13 Nov akan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi ASWARA dan FINAS bermula 8.30 hingga 10.30 malam.

Antara artis dan penggiat seni yang bakal memeriahkan malam kemuncak itu ialah kumpulan Floor 88, Amerul Affendi, Ariff Zulkarnain, pemenang anugerah Penyunting Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) Aiman Arif, Zulin Aziz serta Kai Hassan.

-- BERNAMA