Program Ziarah Kasih wajar jadi aktiviti rutin wakil rakyat

PAYA RUMPUT, 1 November – Program Ziarah Kasih wajar dijadikan aktiviti rutin wakil rakyat bagi mendekati masyarakat serta memahami isu dan keperluan penduduk setempat.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, program berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada wakil rakyat bertemu masyarakat, malah membantu mengenal pasti permasalahan berkaitan kesihatan dan kebajikan yang memerlukan perhatian.

“Program ini penting untuk kita mendekati, menyantuni dan memahami isu yang dihadapi masyarakat, khususnya individu yang berdepan masalah kesihatan dan kebajikan.

“Melalui pendekatan ini, kita dapat meluangkan masa untuk meneliti dengan lebih mendalam bukan sahaja masalah individu, tetapi juga isu yang lebih bersifat sistemik atau memerlukan penyelesaian di peringkat dasar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyertai Program Ziarah Kasih di Taman Paya Rumput Permai di sini hari ini.